Peace, Love, Empathy

Gua ingat lagi tarikh keramat tu. Tanggal 5 April 1994. Kalau dipikir-pikir balik, memang rabak hati gua. Apa? Lu orang ingat gua rabak sebab Courtney mampos? Boleh jalan la, anjing betina! (baca: bitch). Sepatutnya hari tu jadi suatu hari yang paling bersejarah dalam hidup gua. Peluru hidup tu sepatutnya terbenam ke medula oblongata gua, bukan dia. Tak pasal-pasal je dia yang femes. Tapi gua?

Nota terakhir itu diakhiri dengan tiga patah perkataan yang gua rasa agak power maknanya lalu dimasukkan ke dalam kocek seluar. Rumah hijau yang terletak sirka 10 meter dari banglo lama era flower power milik gua dan bini dipilih sebagai lokasi paling cun. Semuanya telah siap seperti yang dirancang. Tiba-tiba...Gila! Haus kejadah time-time macam ni? Lain macam dia punya nafsu dahaga sampaikan gua rasa seluruh isipadu sungai Whiskah mampu dihirup sekali nafas. Peh!

Pintu rumah hijau dikuak. Gua mengheret kaki menuju ke arah belakang rumah. Pintu dapur yang tidak berkunci ditolak lalu dengan rakus peti sejuk dibuka. Sekaton bir cap Lembu Jantan Mengamuk gua sambar buat penghapus dahaga untuk kali terakhir. Senapang patah yang sudah siap berisi peluru hidup gua kepit celah ketiak. Setin, dua tin, tiga tin - settle. Katon yang masih berbaki gua jinjing. Cadangnya nak habiskan kat rumah hijau je. Dengan langkah longlai separa stoned, gua teruskan hajat untuk percutian ke alam barzakh. Baru saja hendak melangkah keluar, gua terdengar seperti rengekan orgasma seorang perempuan birah.

Awek mana pulak yang buat pot berjimak kat rumah gua?

Usha jam di dinding dapur. Kabur. Tonyoh-tonyoh mata. Masih kelabu asap. Tapi gua agak la, dah pukul tiga pagi. Dengan rasa cemas bercampur curiga, gua dekati ke arah datangnya bunyi. Makin lama, makin kuat. Sepertinya dari bilik tidur utama. Tapi Coutney kan dah berlepas ke Chicago? Genggaman senapang patah diperkemas. Tup! Pintu bilik gua terajang.

"Cilakak! Gua ingat lu pergi tour dengan band lu".

Di katil bersaiz raja, Courtney yang bertelanjang bulat bersama teman senggama yang memiliki raut wajah serupa kapal pecah terlopong kebabian. Hati yang dah sememangnya rabak bertukar menjadi sadis. Lalu laras senapang patah gua hala ke arah dua susuk yang nampaknya baru lepas bersenggama ria.

Pong! Pong! Pong!

Hanya dengan tiga das tembakan, dua nyawa melayang. Tak sangka bini gua yang comel lagi seksi itu sanggup berlaku curang. Padan la hati gua selalu je tak tenteram. Air mata jantan gua meluru keluar tanpa kena paksa. Dengan aksi gerak perlahan, muncung senapang gua tujah ke dalam mulut. Mata dikatup rapat tatkala jari mula memetik picu.

Ketik!
Ketik! Ketik!

Babi! Gua dah habiskan peluru!
Panik. Cepat-cepat kesan cap jari dilupuskan. Kesemua jejak gua cover baik punya. Belum sempat pikir pelan B, pintu rumah sudah diketuk orang. Arghh!

Gua lari. Namun percubaan bertemu malaikat maut gagal lagi. Tertangkap juga gua akhirnya semasa cuba membuat terjunan kamikaze di tebing Sungai Whiskah. Tujuh belas tahun dipenjara atas tuduhan membunuh, akhirnya gua dibebaskan. Ini semua gara-gara tiada saksi dan bukti yang kukuh lalu Courtney dan mamat muka kapal pecah disimpulkan sebagai membunuh diri.

Kini dalam usia 45 tahun, siapalah yang pandang muzik grunge yang gua agung-agungkan di era Seattle Sound dulu. Nirvana yang gah suatu ketika pernah diambilalih Frances Bean sebagai vokalis utama. Siapa lagi kalau bukan anak perempuan tunggal gua. Tapi mungkin juga dia tak mewarisi bakat kami berdua , Frances tidaklah segempak emaknya Courtney semasa menganggotai band Hole. Malah Nirvana yang pernah diangkat sebagai The Godfather of Grunge di zaman kegemilangan gua , akhirnya tertiarap ke tanah lalu terkubur. Dilupakan. Malah jarang-jarang disebut dalam lipatan sejarah industri muzik rock sedunia. Frances menghilang bersama teman lelakinya. Tinggallah gua terkatung-katung keseorangan.

Nak bunuh diri pun dah tak guna. Siapa yang pedulik? Silap-silap, mayat gua mereput pun takde orang jumpa. Nak tak nak, gua teruskan juga hidup. Sesekali gua cuba jugak busking di subway atau di kaki lima Java Stop. Tapi mungkin juga penampilan terkini gua yang botak lagi boroi, menyebabkan gua tak dapat cari makan dengan bermain muzik. Malah terpaksa pulak gua mengaibkan diri sendiri dengan mencari makan sebagai penjual seluar dalam peransang syahwat lelaki tajaan sebuah syarikat MLM.
Kesal. Kalaulah rancangan gua berjalan lancar malam tu, tentu gua dah jadi lejen harini.

Nama gua Kurt, lu kenal?

5 comments:

Anonymous said...

Pertamax! Keduax!

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Martini Muaz said...

okey tak sure nak jadi ketigax atau keempatx ._.

Martini Muaz said...
This comment has been removed by the author.
cara meningkatkan roi perusahaan said...

Informasinya sangat bermanfaat oi :D