Lompatan Kuantum Cinta

EZRAAA!!!!!!

Dia dikejutkan dengan sentakan myoklonik buat kesekian kalinya bila cuba melelapkan mata. Seperti biasa, tubuhnya bermandikan cecair kumuhan kelenjar sebaceous. Sudah 3 tahun kejadian itu berlaku tetapi jeritan Nadine seperti menghentak-hentak membran timpaniknya seolah-olah tidak memaafkan atas apa yang berlaku. Dan setiap kali itu juga Ezra meraung mengenangkan tragedi pada jam 1345 tanggal 10 Jun 2013 itu. Nadine terkorban bila keretanya dirempuh lori tangki muatan petroleum ketika cuba melarikan diri darinya. Aku yang bersalah! Akulah penyebab kematiannya!

"Itu namanya takdir. Jangan salahkan diri sendiri". Berkali-kali juga Raphael memberi kata-kata motivasi untuk memujuk Ezra yang semakin pudar warna-warna tenaga aura positif dari tubuhnya.

Ingatan pada hari kejadian masih jelas, seperti visual yang dipaparkan oleh skrin LCD. Dia sengaja melewatkan 3 jam untuk temujanji mereka pada hari itu sempena meraikan hari lahir Nadine yang ke-23. Ada kejutan yang diatur. Ya, cincin platinum bertatahkan batu gem Amethyst ungu yang kini sedang diusapnya. Malang sekali, kejutan bertukar menjadi tragedi yang sangat-sangat dikesalkan.

Ezra melemparkan komik vintaj tahun 1965 bertajuk 'The Time Tunnel' yang terlungkup di atas dadanya ke lantai. Impian manusia menjelajah dan meneroka dimensi ruang dan masa itu bukanlah sesuatu yang baru. Malah sudah beberapa lama manusia memikirkan tentangnya. Kedengaran sangat mustahil. Tapi yang mustahil bisa saja menjadi kenyataan. Lihat saja kemampuan manusia menembusi ruang exosfera sehingga berjaya menjejakkan kaki ke bulan. Kalau betul-betullah Project Tic-Toc seperti yang dikisahkan oleh penulis komik itu mampu direalisasikan, tentu kehidupan manusia bertambah baik fikirnya. Atau mungkin saja lebih buruk kerana manusia mampu mengubah takdir, sejarah dan masa depan.

"Aku yakin aku akan berjaya kali ni."

"Ini semua kerja gila, Ezra. Suicidal! Kajian tentang lompatan kuantumyang berkait rapat dengan evolusi masa dalam mekanik kuantum itu hanya teori semata-mata."

"Yup, sebab ia suatu teorilah aku nak menjadi manusia pertama yang merealisasikannya. Tu pasal la aku gabungkan penggunaan Triklorophan ni sebagai pemangkin. Aku percaya bila kita dapat wujudkan penghasilan gelombang alpha yang aktif pada fasa tertentu semasa proses luar sedar, tindakbalas cas elektrik yang dialirkan ketika pengaktifan gelombang ini dapat mencetuskan suatu dimensi yang membolehkan lompatan kuantum yang menembusi ruang dan masa"

"Dadah yang kau nak gunakan pun masih tak terjamin tahap keselamatannya. Pengubahsuaian struktur molekul kimia yang kita buat tu belum stabil. Lagipun kita baru eksperimen pada lembu je kot"

"Tapi lembu tu lenyap kan? Hahaha!!"

"Betol lenyap, tapi bila lembu tu muncul balik ke sini, dah jadi bangkai hangus. Apa yang kau nak buat ni sangat berisiko tinggi. Kalau kau dapat kembali ke masa lepas dan selamatkan Nadine sekalipun, tak mungkin dia dapat dihidupkan semula. Aku tetap percaya takdir takkan berubah dengan cara yang macam ni. Kau banyak sangat terpengaruh dengan filem!"

Ah, lantaklah. Peduli apa dengan takdir. Bagi Ezra, takdir hidupnya tak pernah menjadikan rasa bahagia itu kekal sehingga ke hujung nyawa. Bila saja mencapai sesuatu klimaks, tiba-tiba saja zon selesa itu direntap. Bukan dia seorang saja yang mengalami fasa anti-klimaks seperti ini, tetapi rata-rata manusia sudah melaluinya. Kalau Tuhan itu Maha Penyayang, kenapa derita yang Dia takdirkan? Adakah Tuhan mahu mencabar keupayaan sel-sel neuron otak manusia itu bertindakbalas atau ini hukuman untuk manusia yang jarang mengucap rasa syukur?

Kalau saja memori dalam sistem limbik manusia mampu dipadam dan dibina semula, mahu saja dia lakukan. Re-set lagi dan lagi bila dicampak keluar dari zon selesa. Mungkin, ini semua kemungkinan yang tidak mustahil, sama halnya seperti impian manusia mendarat di bulan. Ya! Ezra yakin semuanya mampu direalisasikan dengan keberanian, kesungguhan dan usaha yang infiniti. Tapi tak mungkin memori indah bersama Nadine itu mahu dipadam (jika boleh sekalipun) kerana nilai cinta baginya bukan semurah dan semudah mendapatkan nyawa baru dengan menekan butang restart seperti yang biasa dilakukannya semasa bertarung di medan permainan elektronik.

"Mulakan! Kalau kau anggap aku sahabat kau, ini permintaan pertama dan terakhir dari aku!", jerit Ezra.

Tiub IVF dengan cairan Triklorophan mula mengalir ke segenap kapilari darah. Tubuh Ezra kini diapungkan dalam tangki yang berisi sejenis cairan elektrolit dengan beberapa port yang disambungkan dengan wayar-wayar ke Tujuh Cakra tubuh. Suhu badannya mula menurun.

Raphael memejamkan matanya. Dengan hati yang berat, ditekan papan kekunci itu. Enter.

Dia terasa seolah-olah tercampak ke dalam suatu kitaran lohong yang tak berpenghujung lalu tersentak bila dirasakan sejenis cecair menerpa sejuk membasahi lapisan epidermisnya. Nadine meletakkan gelas selepas mencurahkan isinya ke muka Ezra. Dia berlari keluar dari restoran sambil menekup muka. Jam di tangan menunjukkan masih ada 85 saat sebelum berlakunya kemalangan ngeri itu. Ezra meluru pantas mendapatkan Nadine sebelum dia sempat melangkah masuk ke dalam kereta.

"Maafkan saya, saya lambat sebab saya mahu mengakhiri hidup ini bersama-sama kamu". Lantas cincin dengan kemasan Amethyst kesukaan Nadine diseluk dari dalam saku seluar jeans lusuh lalu disarungkan ke jari manis bakal surinya. Ketika itulah satu senyuman yang dirasakan paling manis terukir di bibir mungil seksi itu. Ezra mengucup gadis itu sepuasnya lalu memeluk erat bila sebuah lori tangki yang terbabas merempuh mereka berdua.

9 comments:

chirpy_chummy said...

sob sob..

cinta mereka sgt mendalam.

Lucifer said...

yeah., update.


yang ni dalam zine fiksains kan?

Dark Half said...

@chirpy: oo..kira mendalam ke camni?
@Luc: yep, tapi tak brp nak menjadi

chirpy_chummy said...

dalam la tu..smp sanggup mati bersama.. xcaya cerr amik pembaris, ukur dalam mn.

Mutiara Bernilai said...

kali ni dua2 mati..ahh,.

Martini Muaz said...

tsk.
*geleng kepala*

Cik NurulZaty said...

1st time rasanya ke sini..

waah..hebat penulisan kamu.. :)

Dark Half said...

thanks all. hebat ke camni? just some crap

Päk Läng said...

keberadaan manusia di dunia adalah tak penting-dari suatu sudut yg berlainan dari yg lain2

mungkin...heh