Awas! Blog Ini Mampu Menjadikan Anda Pembunuh Bersiri

Semasa mula-mula diperkenalkan, timbul sikit kontroversi dan histeria dari beberapa penulis blog kononnya Kontrol Histeria yang dilabel untuk pembacaan homosapien 18 tahun ke atas ini bagi impak dan idea negatif kepada para pembaca. Jadi, sesapa yang rasa mental dia dah rosak atau berniat nak jadi perogol atau pembunuh kejam setelah membaca blog ini, anda dinasihat mendapatkan rawatan dengan kadar segera.

Sebagai salah sorang sahabat maya Khairul Hisyam (founder) yang diajak bersekongkol bersama-sama Lucifer dan Zoul Zombie pada awalnya untuk menghisteriakan blog ini, aku terasa jugak sikit tempias 'air liur' dengan kutukan dan kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak yang kurang selesa dengan bentuk 'kegilaan manusia' yang dilontarkan oleh imaginasi beberapa penulis Kontrol Histeria. Tapi untunglah angkatan lunatik Kontrol Histeria sangat sejuk (baca: cool) belaka dalam menghandle masalah-masalah celah gigi camni.

Aku ingat lagi, di awal penubuhan Kontrol Histeria, Khairul terasa jugak cabarannya terutama bab nak menjemput kawan-kawan jadi penulis tetap. Ada juga sebilangan penulis yang nampaknya seperti 50-50 atau kurang yakin nak turut serta, apalagi dengan konsep blog yang mahu menampilkan kisah-kisah perilaku manusia yang di luar batas normal tetapi dalam masa yang sama menolak unsur tahyul dan ke'hantu'an. Bagi aku pula, ini adalah satu cabaran dan pengalaman pertama aku menulis Kispen dalam genre yang semacam ni. Jadi, tak heran la kalau ada penulis yang berasa goyang untuk jadi penulis tetap.

Penggunaan warna pink pada blog dan bukan merah (warna yang normal yang dipilih bagi kebanyakan laman web yang memaparkan unsur gelap, ganas dan ngeri) ada maknanya tersendiri kerana di Kontrol Histeria, kami ingin mengubah persepsi dan minda pembaca ke suatu tahap yang luar dari kebiasaan (normal). Walaupun Kontrol Histeria nampak macam blog perasan ganas dengan kisah-kisah yang dipaparkan, setiap penulis ada gaya penulisan masing-masing. Jadi, korang masih mampu tergelak dengan fiksyen yang dilipur-larakan oleh sesetengah penulis yang bijak menyuntik unsur-unsur humor walaupun dalam adegan yang penuh darah dan kerat-mengerat. Aku tak reti sangat nak mengulas dengan gaya yang mengerikan, jadi kalau korang nak tau lebih mendalam tentang Kontrol Histeria, boleh juga baca di 6ratus6puluh6 atau paling sempoy, korang klik terus http://kontrolhisteria.blogspot.com.

Minda kita selalu saja digula-gulakan dengan kisah kehidupan manusia yang agak klise sama ada kisah benar atau rekaan terutamanya dalam drama tv mahupun layar perak – kau buat baik dapat balasan baik dan kalau kau buat jahat pula, di akhir cerita akan dapat balasan atau hukuman ‘tang-tang’ tu jugak kat dunia ni bak kata sorang kawan yang berasal satu kampung dengan Mat Luthfi. Alah, macam penamat kisah-kisah jenayah drama polis inspektor Galak kat tv. Kau ingat realiti kat dunia ni semuanya indah-indah belaka ke?

Kita mungkin terlupa atau buat-buat lupa. Banyak kes-kes rogol bunuh, mangsa pembunuh upahan, pembunuh bersiri dan jenayah yang di luar perikemanusiaan tetapi si pelakunya masih lepas bebas tersenyum setan. Contohnya, kes arwah adik Nurin Jazlin Jazimin yang diculik dan mati akibat penderaan seksual yang kejam. Ada beberapa suspek yang disoal siasat tapi mana pembunuhnya? Apa kesudahannya? Itu baru salah satu kes domestik. Kalau kes luar negara pula, masih ingat dengan Black Dahlia? Sehingga hari ini pembunuh Elizabeth Short aka Black Dahlia tidak berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman. Ini belum lagi kita sentuh pembunuhan jenis letup-letup orang dan seumpamanya yang melibatkan mereka-mereka yang berprofil tinggi dan orang-orang ternama sebagai suspek. Tapi biasalah, bila ada kes-kes macam ni, sapa berani persoalkan? Ada sokabar berani nak follow-up setiap masa sampai tertangkapnya penjenayah? Akhirnya kes-kes yang tergantung ini senyap camtu jer. Tapi ada korang persoalkan mana penamatnya? Apa pengajarannya? Kenapa penjenayah tak dapat balasan?

Apa yang cuba ditampilkan oleh kebanyakan kisah-kisah imaginasi di Kontrol Histeria adalah menghampiri kegilaan dan keganasan manusia yang benar-benar berlaku di seluruh dunia. Korang mungkin akan berasa puas bila dihidangkan dengan penamat yang sempurna bila menonton kisah-kisah di drama atau filem tetapi tidak di Kontrol Histeria. Bagi aku solutionnya senang saja. Kita semua terdidik dengan agama masing-masing yang percaya dengan balasan Tuhan atas setiap perbuatan atau disebut sebagai hukum karma bagi agama tertentu. Tapi ada sesetengah perbuatan ditangguh pembalasannya oleh Tuhan di Hari Pengadilan kelak. Itu yang aku pegang dan percaya ~ Pengajaran hidup yang tertulis sejak awal lagi.

"Jadi, apa sebenarnya yang kau nak mengarut dalam entry ni?"
Kau rasa?